Mitos terbenam di Dasar Ekonomi Baru

Diterjemah daripada Bahasa Inggeris oleh: Adriana Nordin Manan (translated from English by Adriana Nordin Manan)

This article was translated with the support of AFSEE’s Translation Initiative.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia diperkenalkan dan dibentang di Parlimen lebih daripada 50 tahun lalu, berikutan rusuhan kaum pada 1969. Disifatkan sebagai dasar yang bercita-cita tinggi namun mengundang pelbagai persoalan, DEB ialah projek pengolahan sosioekonomi yang berjaya membentuk dan merubah sosok ekonomi politik Malaysia. Meskipun DEB tamat secara rasmi pada 1990, objektif serampang dua mata yang merangkumi pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan memansuhkan pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi tidak pernah lekang daripada menjadi tunjang penggubalan dasar hari ini.

Baru-baru ini, Malaysia dilanda satu lagi krisis, kali ini daripada hentakan tiga serangkai kesihatan, ekonomi dan ketidaktentuan politik. Darurat yang luas dipertikaikan dan diisytiharkan untuk menangani krisis berakhir pada 1 Ogos 2021, namun seusai itu tidak kelihatan sebarang dasar mirip DEB dengan ciri liputan menyeluruh dan hasrat mengemudi negara ke arah yang menongkah arus sedia ada. Malah, DEB dicemuh sebagai penyebab kehambaran politik dan kerapuhan sosial yang mendepani Malaysia hari ini, manakala seorang pengantar radio berkata DEB “meninggalkan rasa pahit di sanubari ramai rakyat Malaysia.

Sepanjang setahun yang lalu, renungan terhadap DEB pada ulangtahun ke-50 begitu terhad: ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan negara berhempas pulas menyelamatkan nyawa dan memelihara kelangsungan hidup, manakala penganalisis sudah jemu mengulangi persoalan tipikal seperti kesan DEB terhadap jurang antara dan sesama kaum, atau kejayaan DEB untuk membentuk kelompok usahawan Bumiputera yang berjaya atau sebaliknya. Gugusan komentar dan wawancara yang dihasilkan mencerminkan penilaian berbeza terhadap DEB, sama ada mengaitkan dasar tersebut dengan sifat perkauman yang berleluasa dan berpasakkan institusi, membangkitkan persoalan wajar tentang politik naungan, mengeluh mutasi dasar daripada muluk kepada mencong, ataupun mempertahankan relevansi dasar di era berlatarkan ketidaksamaan kaum serta penumpuan kekayaan yang berterusan.

Lee Hwok Aun, Felo Kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura, berkongsi perspektif yang berhati-hati tentang DEB pada usia 50, dan menyampaikan huraian terperinci tentang latar sejarah kepada formulasi dan evolusi dasar menyeluruh ini. Intipati hujah beliau menekankan peri pentingnya memahami perbezaan konsep antara kedua-dua serampang DEB, tetapi pada masa yang sama mengakui bahawa kedua-duanya saling bertindih. Namun, masih ada ruang untuk huraian lanjut berkaitan perbezaan dan pertindihan dalam konteks ini.

Tidak dinafikan bahawa mencampur adukkan matlamat kedua-dua serampang ini telah menyebabkan pengesyoran dasar yang tidak sesuai di bawah sepanduk “tindakan afirmatif berpandukan keperluan,”  namun begitu apabila hubungkait antara kedua-duanya tidak pula ditekankan, kita terlepas pandang betapa kekurangan yang dihadapi masyarakat Bumiputera sebenarnya juga berakar umbi pada proses sosioekonomi berpaksikan kaum.

Serampang pertama DEB untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum (penekanan oleh pengarang) membayangkan bahawa kemiskinan boleh ditangani dengan pendekatan yang tidak berorientasikan kaum. Tetapi, niat membantu kelompok miskin tanpa mengira kaum tidak bermaksud kemiskinan itu tiada sisi kaum. Kemiskinan nelayan Melayu, pekerja estet India, penduduk Kampung Baharu Cina, kaum Penan di Sarawak, Rungus di Sabah—sekadar menamakan beberapa contoh komuniti—rata-rata berakar umbi pada proses sejarah di mana kedudukan sosioekonomi mereka tidak terpisah daripada persoalan kaum. Meskipun di peringkat isi rumah, kemiskinan diukur secara statistik dan difahami dengan perspektif bebas kaum, pengalaman golongan miskin mesti difahami seiring dengan proses kelompok, di mana masyarakat miskin sering terjerat dalam ikatan sosial yang mengandungi unsur kaum dan bersifat eksploitasi.

Sementara itu, serampang kedua DEB iaitu memansuhkan pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi lazimnya difahami sebagai mencapai keseimbangan kaum di lapangan ekonomi yang berbeza untuk mencerminkan pecahan kaum kebangsaan (penekanan oleh pengarang). Tetapi, perspektif yang kedua-duanya sama dan serupa perlu dikaji dengan lebih lanjut. Mampukah perwakilan kaum yang pelbagai di mana-mana ruang ekonomi memansuhkan pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi, apabila kriteria kaum itu sendiri menjadikan masyarakat begitu peka terhadap perbezaan? Adakah hasrat memansuhkan pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi satu objektif yang bijak, sebagai respons kepada hierarki kaum-ekonomi peninggalan penjajah? Wajarkah kita menumpukan keseimbangan kaum dari segi bilangan individu dari setiap kaum di sesuatu ruang ekonomi sahaja, tanpa mengambil kira kepelbagaian sosiobudaya sampingan di ruang ekonomi tersebut? Misalnya, adakah tugas pihak pengurusan selesai apabila tenaga kerja syarikat mencapai peratusan pekerja Bumiputera yang dihasratkan, meskipun kesemua pekerja tersebut berasal dari latarbelakang pendidikan yang sama, contohnya lulusan universiti elit di luar negara?

Pada dasarnya, hujah di sini menyatakan yang apabila DEB diperkenalkan, dasar mungkin membezakan kedua-dua serampang dan merincikan pendekatan berlainan untuk setiap satu demi menangani kekurangan yang dialami kaum Bumiputera. Tetapi, kekurangan yang dikenalpasti berakar umbi pada proses yang sama, iaitu proses berkisarkan kaum dan mendepani sekelompok besar Bumiputera yang mengalami situasi sosioekonomi yang serupa pada tahun-tahun awal kemerdekaan. Proses berkaitan kaum ini terlihat pada kekurangan yang berbagai bentuk, dari kemiskinan meluas ke kurangnya penglibatan dalam sektor ekonomi ‘moden.’

Namun begitu, dengan berlalunya masa, DEB dan peninggalannya telah menyumbang kepada pertumbuhan kelas menengah Bumiputera yang tidak disangkal kewujudannya, dan tidak lupa juga—dan tidak dinafikan, diulit kontroversi—kelompok elit Bumiputera di Malaysia. Meskipun kewujudan kelompok menengah dan elit secara terang-terangan boleh dianggap penanda yang kaum dan kelas sosioekonomi sudah tidak saling bertaut rapat seperti dahulu, kewujudan kelompok-kelompok ini kadang kala menyelindungi hakikat lain, bahawa terdapat sekelompok besar Bumiputera yang masih mengalami kekurangan akibat pendekatan berpandukan lensa kaum yang mencorakkan sistem sosioekonomi sehingga hari ini. Lensa ini berupa peninggalan zaman penjajahan, tetapi kemungkinan besar sudah bertukar wajah kepada bentuk yang berlainan dan lebih halus.

Saya berpendirian yang kita boleh membugarkan perbahasan tentang DEB dengan mengetengahkan perbincangan tentang pengalaman peribadi dan dipengaruhi faktor kaum kelompok Bumiputera yang mendepani kekurangan. Makalah saya yang diterbitkan baru-baru ini menumpukan pengalaman di era pasca-kolonial berkaitan tindakan afirmatif di Malaysia, dengan tumpuan terhadap suara golongan belia Bumiputera. Berpandukan wawancara mendalam, saya mendapati yang meskipun terdapat perbezaan dari segi penghayatan identiti kaum dan sikap sosial terhadap tindakan afirmatif dalam kalangan subjek kajian, perbezaan yang pelbagai ini memiliki ciri sepunya iaitu keterasingan daripada hierarki ekonomi-kaum warisan kolonialisme.

Oleh itu, apabila keterasingan ini dijana ulang dalam masyarakat, sistem hanya mengekalkan mitos bahawa tugas utama tindakan afirmatif adalah menangani kekurangan di peringkat individu, dan bukan mengatasi kekurangan sistemik yang terbentuk oleh cengkaman berlarutan kolonialisme. Tangga sosioekonomi bercorakkan kaum dianggap sesuatu untuk dipanjat dan bukan jasad yang perlu dipersoal bentuknya dan dinyahjajah konsepnya. Tindakan afirmatif dianggap matlamat meningkatkan pencapaian ekonomi demi mengurangkan ketidaksamaan antara kaum, di mana ketidaksamaan ditakrif sebagai perbezaan sumber milikan antara kelompok. Namun begitu, pada dasarnya tindakan afirmatif bercambah dari keperluan menstruktur semula himpunan ikatan sosial yang diwarisi, dan terzahir pada tangga sosioekonomi bercorakkan kaum. Jaringan ikatan sosial ini yang sebenarnya menghalang pencapaian ekonomi serta menghalang ikatan lain daripada terbentuk.

National harmony: race, politics and campaigning in Malaysia

A new report analyses debates around social cohesion and a failed proposal for a National Harmony Commission in Malaysia in light of Pakatan Harapan's collapse

Maka, pendekatan yang menganggap kekurangan yang dihadapi di peringkat kelompok sebagai kekurangan individu mengalihkan perhatian daripada hierarki, kategori dan ikatan sosial warisan penjajahan. Ini bertindak mengetepikan kesemuanya sebagai topik masa lampau, sedangkan kajian terhadap kolonialiti sering menyatakan bahawa ikatan antara masa lampau dan masa sekarang selalunya berlanjutan tetapi sering disalah faham. Acap kali, cabaran yang dihadapi kelompok Bumiputera yang kekurangan disimpulkan sebagai isu kaum atau kelas sosioekonomi, dan tidak disimpulkan sebagai perhubungan di era pasca-kolonialisme yang bertindak melanjutkan kekurangan bersilang yang dihadapi ramai rakyat Bumiputera—di mana hierarki dan kategori yang diwarisi terus mengaburi ketidaksamaan yang berterusan dalam kalangan mereka. Ciri utama hierarki pula ialah penilaian moral yang dikenakan di atas kelompok yang berbeza, misalnya sektor ekonomi moden sering dikaitkan dengan kawasan bandar dan sektor perkhidmatan, manakala sektor tradisional yang dianggap kurang melambangkan kemodenan lebih dikaitkan dengan sektor luar bandar, misalnya pertanian. Perspektif ini lantas membezakan kegiatan ekonomi yang didambakan daripada yang kurang digalakkan.

Di sinilah sisi anti-kolonialisme DEB yang jarang diperkatakan wajar diperkembangkan. DEB sering dilihat sebagai memperluaskan, oleh itu menjadi kesinambungan, peruntukan perlembagaan terhadap tindakan afirmatif. Tetapi kita juga perlu memikirkan bagaimana DEB mengubah hala tuju rejim tindakan afirmatif dari zaman sebelumnya. Menurut DEB, ketidakseimbangan kaum berlaku akibat “dasar penjajah” dan “pembangunan ekonomi di era penjajahan.” Dengan matlamat menstruktur semula hierarki kaum yang dianggap warisan penjajahan, DEB mengakui pecahan majoriti dan kawalan oleh modal asing dalam ekonomi negara, menetapkan sasaran jelas untuk mengurangkan kepemilikan asing dan membentang hamparan untuk meniti perjalanan yang menjauhi sistem kapitalisme laissez-faire.

Meskipun ini tidak bermaksud DEB sentiasa menepati sasaran ketika menggambarkan situasi pasca-kolonialisme di Malaysia, ia tetap membayangkan bahawa terdapat ruang untuk menyingkap semula perbincangan tentang kolonialiti yang tersisip di DEB. Struktur kuasa, kawalan dan hegemoni di aturan ekonomi sedunia mencetuskan persoalan sama ada tindakan afirmatif di Malaysia boleh difahami dengan selengkapnya di peringkat negara-bangsa, tanpa turut menyuluh perhatian kepada tindakan afirmatif di skala berbeza, sama ada dari prinsip kolonialiti yang menjadi landasan ekonomi politik antarabangsa mahupun ruang domestik, di mana tindakan afirmatif turut memperkasakan pembentukan identiti.

Sambil kita merenung DEB hari ini, dari perspektif negara yang terekah dan ekonomi yang lesu, tidak dapat dinafikan bahawa ketidaksamaan berlarutan yang dialami kelompok Bumiputera yang kekurangan mesti diteliti dengan perspektif baharu. Konsep keadilan yang berakar umbi pada pengalaman bersilang dan dicorakkan kaum yang dihadapi kelompok Bumiputera yang kekurangan boleh memapankan agenda tindakan afirmatif dengan seruan moral yang lebih lantang, serta mencetus keperluan membayangkan semula, menuntut semula dan menstruktur semula agenda dasar dengan lebih berkesan dan menepati keperluan zaman.

Versi asal dalam Bahasa Inggeris pertama kali diterbitkan di New Mandala.

More on Malaysia

Politics of literary translation in plurilingual Malaysia and Singapore

Literary translations between languages becomes a conscious, if not political, effort to let one another be heard within the national context.

Groundhog day for Fake News in Malaysia

Legitimate criticism of the government’s decision to obtain the state of emergency declaration is now a criminal offence under Malaysian law.

Malaysia: The New Political Normal, for Now

The promise of the “New Malaysia” that would emerge after the historic 2018 election has been delayed again indefinitely.